Puasa adalah ibadah yang istimewa, kerana puasa adalah ibadah yang diamalkan secara turun temurun semenjak zaman sebelum Nabi Muhammad SAW. Semenjak daripada itu penyariatan puasa ini berjalan merentasi umat setiap nabi-nabi sehingga kepada umat akhir zaman iaitu umat nabi Muhammad SAW. Puasa adalah suatu lambang pengorbanan seorang hamba untuk menunjukkan ketaatan total hanya kepada Allah SWT, selain disisipkan banyak faedah-faedah yang positif daripadanya.
Hasil daripada kebaikan berpuasa ini, banyak kajian-kajian sains telah dibuktikannya pada hari ini. Walaupun nampak seakan-seakan ibadah puasa ini membebankan, tetapi sebenarnya tidak, puasa ini terlalu banyak hikmah yang tersembunyi daripadanya. Contohnya, pembunuh No 1 dunia hari ini tidak kira di mana-mana negara adalah berpunca daripada pemakanan yang diambil, sudahlah makanan-makanan pada hari ini dicampur dengan pelbagai bahan yang tidak baik untuk diri, ditambah pula lagi aktiviti makan tidak henti-henti, ada sahaja menu baru yang akan dicipta dan diiklankan.
Ini adalah masalah yang sangat serius, maka agama datang membawa keselamatan dan petunjuk. Selain daripada suruhan supaya jangan makan berlebihan, tidak membazir, makan sebelum kenyang, makan yang baik-baik lagi halal dan bermacam-macam lagi suruhan, maka konsep ibadah berteraskan puasa diterapkan lagi di dalam kehidupan orang Islam supaya lebih lagi mengekalkan momentum kesihatan yang baik demi untuk beribadah kepada Allah SWT.
Ini adalah salah satu manfaat yang sangat besar daripada aktiviti berpuasa, selain mendapat ganjaran yang besar, dapat juga merehatkan perut yang sentiasa disajikan dengan makanan-makanan yang berbagai-bagai.
Sejarah Pensyariatan Puasa
Pensyariatan puasa kepada umat Nabi SAW difardhukan pada bulan sya’ban tahun kedua hijrah. Pensyariatan ini diturunkan kepada umat Islam semasa baginda berada di Madinah. Pada waktu itu, akidah umat Islam telah utuh dan kuat, kerana pada waktu mula-mula Islam yang mana para sahabat berada di waktu Jahiliyyah, Nabi saw berhempas pulas memasukkan elemen-elemen ketuhanan dan keikhlasan ke dalam diri para sahabat, elemen ini sangat penting untuk suatu jangka masa yang panjang demi untuk mengembangkan ajaran Islam. Mana mungkin ibadah-ibadah ini dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya iman di dalam dada tidak kemas dan padu seperti golongan munafiq, mereka beramal tetapi tiada keikhlasan dan keimanan di dalam diri malah mereka selalu mempersoalkan, kenapa Allah suruh buat begitu dan begini serta menganggap bahawa Islam adalah agama yang sangat menyusahkan.
Tetapi sangat berbeza dengan sahabat-sahabat yang sudah kental imannya, sebab itu apabila turun sahaja apa-apa pensyariatan daripada Allah SWT, sahabat-sahabat menerima tanpa berdolak dalih walaupun terpaksa berjihad dan berperang di waktu bulan Ramadan. Hal ini kerana, faktor iman, kepercayaan dan keikhlasan sudah padu di dalam diri. Tidak mungkin Allah menurunkan syariat untuk membawa kemudharatan. Itulah fungsi iman dan keikhlasan. Semoga kita sama-sama dapat memantapkan iman di dalam diri.
Dalil pensyariatan puasa ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT yang dirakamkan di dalam al-Quran yang berbunyi: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (al-Baqaroh: 183)
Walau bagaimanapun, kewajipan puasa Ramadan tidak pernah disyariatkan sebelum itu. Persamaan antara umat-umat ini dengan umat dahulu ialah puasa disyariatkan. Tetapi kefardhuan puasa di bulan Ramadan dikhususkan hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Dalil Pensyariatan Puasa
Secara kaedah umum yang telah diberikan oleh Ulama, setiap perkara yang melibatkan ibadah pada asalnya adalah haram, kecuali ada dalil yang mengatakan keharusan tentang pengamalannya. Tetapi tidak pada perkara uruf dan adat, semuanya harus hukumnya kecuali ada dalil yang datang mengatakan tentang pengharamannya. Kaedah ini penting bagi menentukan keaslian agama, kerana ramai individu bermula daripada zaman lahirnya Islam berusaha untuk menambah-nambah ibadah mengikut selera sendiri, sedangkan ibadah adalah hak mutlak Allah SWT yang mana tidak mungkin siapa-siapa yang boleh reka melainkan Allah SWT. Sebab itu soal dalil yang sahih sangat penting di dalam perkara ibadah.
Justeru, dalil mengenai pensyariatan puasa sangat jelas iaitu datang daripada al-Quran dan sunah yang tidak dipertikaikan pensyariatannya. Maka dalil difardhukan puasa di bulan Ramadan ialah berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqaroh: 185)
Demikian juga daripada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Islam dibina atas lima perkara: mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, dan puasa pada bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Manusia akan digelar sebagai Muslim sekiranya rukun Islam ini dia imani dan lakukannya dengan sempurna. Sekiranya dia tidak mempercayai atau menafikan salah satu daripada rukun-rukun ini, maka dia bukanlah seorang Muslim. Begitu juga bagi yang malas melakukan tanpa ada sebarang keuzuran, maka dia menanggung dosa yang sangat besar.
Apabila seseorang itu mencintai sesuatu, pasti dia akan berkorban segala-galanya untuk itu, dia akan buat apa sahaja kehendaknya. Begitu juga dengan manifestasi cinta kita kepada Allah SWT, jika cinta pasti kita akan laksanakan segala suruhannya dengan bersungguh-sungguh merentasi hikmah-hikmah kebaikan yang tersembunyi. Kerana tidak lain dan tidak bukan kita ini adalah hambanya, kita sentiasa mengharapkan rahmatnya, dan kita juga mengharapkan syurganya. Sudahlah Allah memberi kita pinjam anggota, tenaga, kekuatan dan segala-galanya, maka kita perlu balasnya dengan taat dan patuh kepada Allah SWT.
Hukum Meninggalkan Puasa Ramadan Dengan Sengaja
Hukum meninggalkan puasa dengan sengaja kerana tidak mempunyai apa-apa keuzuran, maka dia dihukumkan sebagai dosa besar. Manakala bagi yang meninggalkan puasa kerana menafikan ibadah puasa adalah fardu, maka dia dihukumkan sebagai murtad, itu pun dengan syarat apabila sudah diberikan pengetahuan yang baik mengenai agama Islam termasuk kefardhuan puasa secara menyeluruh oleh para alim ulama. Tetapi apabila sudah diberi pengajaran, hilangkan syak yang ada pada dirinya mengenai perkara yang dinafikan itu, dia tetap juga menafikan perkara tersebut. Maka pemerintah memberi hukuman kepadanya sebagai orang yang telah murtad.
Aplikasi meninggalkan atau menafikan rukun Islam ini sangat besar sebenarnya. Dosa besar bagi yang malas menunaikannya tanpa ada keuzuran, dan murtad bagi sesiapa yang menafikannya berdasarkan syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas.
Fadhilat Puasa
Selain daripada berpenat lelah menunaikan ibadah puasa, dalam masa yang sama juga kita mendapat ganjaran yang besar daripada hasil ibadah tersebut, tetapi dengan syarat bahawa ibadah tersebut mestilah ditunaikan dengan cara yang dikehendaki oleh sunnah. Mendapat keseronokan berupa pahala dan keampunan adalah cita-cita seorang mukmin yang baik.
Sangat besar rahmat Allah terhadap orang berpuasa, antara kelebihan puasa yang disebut oleh Nabi SAW ialah:-
1) Hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya diri Muhammad di dalam genggaman Allah SWT, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah berbanding bau-bau kasturi. Dan bagi orang yang berpuasa itu mempunyai dua keseronokan: apabila waktu berbuka, dia seronok di kala waktu berbuka itu dan seronok di kala saat berjumpa dengan Allah SWT.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Lihat bagaimana Allah mengiktiraf orang yang berpuasa dengan kedudukan yang sangat tinggi. Kita selalu berwangi-wangian di dunia untuk kelihatan lebih bergaya, tetapi nilaian bagi Allah SWT bagi orang yang berwangi-wangian adalah pada orang yang berpuasa walau siapa pun dia. Demikian juga apabila Allah menjanjikan bagi orang yang berpuasa ini adalah syurga. Lihat ketika Allah menawarkan bagi sesiapa yang berpuasa dengan sempurna untuk berjumpa dengan-Nya. Subhanallah! Itu adalah nikmat yang paling besar. Jika dia baik ibadahnya, baik hubungannya dengan Allah SWT dan makhluknya yang lain. Maka syurga adalah tempat pengakhirannya.
Berkata Abu Hatim bin Hibban: “Beriman itu merujuk kepada kefardhuannya, manakala berkira-kira itu merujuk kepada keikhlasan dalam menunaikan kefardhuan puasa.”
Jika kita hendak menghitung dosa-dosa yang kita lakukan pada masa yang lepas, tidak terhitung kita kerana terlalu banyak dosa yang kita lakukan. Maka Allah Yang Maha Rahmat memberi satu peluang yang sangat besar kepada orang melakukan dosa untuk membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan iaitu menggunakan peluang yang sebaiknya di bulan Ramadan ini untuk melakukan transformasi diri dengan bersungguh-sungguh. Itulah Mukmin yang bijak menggunakan peluang. Semoga Allah membantu kita semua.
3) Hadis daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiada puasa seorang hamba pada jalan Allah melainkan Allah menjauhkannya daripada neraka pada hari itu dengan 70 khorif (jarak yang sangat jauh).”
4) Hadis daripada Sahal Bin Saad bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya syurga mempunyai pintu yang bernama ar-Rayyan, ia dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa, dia tidak akan dimasuki oleh sesiapa pun kecuali orang yang berpuasa. Pada hari kiamat malaikat akan memanggil di manakah orang-orang yang berpuasa? Maka selepas dipanggil mereka pun masuk, maka selepas sahaja mereka masuk, pintu akan ditutup.”
Inilah pengiktirafan yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berpuasa. Sangat besar pengiktirafannya. Hanya melakukan ibadah dengan baik, menjadi hamba Allah di muka bumi ini dengan baik. Allah menghadiahkan pula syurga kepada mereka ini. Adakah kita mahu terlepas daripada peluang keemasan ini? Mari kita sama-sama fikirkan.
5) Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
6) Nabi SAW bersabda: “Antara solat lima waktu, Jumaat hingga ke Jumaat, Ramadan hingga ke Ramadan, diampunkan segala dosa-dosa (kecil) di antara waktu-waktu tersebut dengan syarat dia menjauhi daripada melakukan dosa besar.” (Riwayat Muslim)
7) Antara paling besar nikmat berada di dalam Ramadan ialah malam Lailatul Qodar. Siapa yang dapat menjumpai malam tersebut, ia beribadat seumpama 1000 bulan. Kita adalah umat akhir zaman, yang mana kehidupan kita antara 60 hingga 70 tahun, kalau lebih itu hanyalah bonus. Bukanlah sepanjang hidup itu kita beribadat, ada juga masa kita tidur, membuat perkara lagho, maksiat dan sebagainya. Tetapi bagi mereka yang dapat menjumpai malam tersebut, dia dapat ganjaran seumpama beramal 80 tahun lebih tanpa henti (pahala penuh). Sungguh hebat tawaran yang Allah tawarkan, tawaran syurga dan keampunan. Mari kita sama-sama rebut peluang itu.
Itu adalah sebahagian kelebihan-kelebihan yang Allah tawarkan kepada kita semua selaku hamba yang amat disayangi-Nya. Bayangkan juga apabila seorang majikan ingin menawarkan bonus kepada pekerjanya, sudah pasti bonus yang diberikan itu kepada pekerjanya yang bagus, rajin dan baik. Demikian juga bagi pelajar, guru akan memberi markah bonus kepada pelajarnya yang rajin. Konsep yang sangat mudah bukan. Begitulah nilaian Allah kepada hambanya yang rajin beribadah dan berusaha.
Sebelum beberapa hari lagi kita ingin melangkah ke bulan Ramadan, sudah pasti persediaan perlu kita lakukan dengan baik supaya kita dapat menghadapi Ramadan dengan penuh cemerlang.
0 komen:
Catat Ulasan