22 Mac 2013

Jumaat, Mac 22, 2013
 
 Tanggal 22 Mac merupakan tarikh kelahiran tokoh tersohor Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang perlu kita ingati hari ini.

P. Ramlee ialah seorang pelakon, pengarah, penyanyi, penulis dan pencipta lagu serta penerbit filem warganegara Malaysia.

Nama sebenarnya ialah Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang, Malaya.

Kerjayanya dalam bidang seni bermula pada tahun 1947 apabila beliau memenangi pertandingan nyanyian anjuran Radio Malaya di Pulau Pinang.

P. Ramlee mula menceburkan diri dalam bidang lakonan apabila beliau ditemui oleh pengarah studio Malay Film Productions iaitu B.S. Rajhans sewaktu pengarah tersebut datang ke Pulau Pinang. B.S. Rajhans telah mengajaknya ke Singapura untuk berlakon filem.

P. Ramlee berhijrah ke Singapura pada tahun 1948 dan berlakon dalam filem pertamanya berjudul Chinta.


 
"Muzik dapat memainkan peranan yang penting menguasai seluruh masyarakat demi kepentingan negaranya." - P. Ramlee

Setelah berkecimpung dalam dunia lakonan dan perfileman, P. Ramlee telah mengarahkan filem pertamanya berjudul Penarek Becha pada tahun 1955. Filem terakhir arahan P. Ramlee ialah Laksamana Do Re Mi pada tahun 1973.

Beliau telah mengarah dan berlakon sebanyak 66 buah filem dan menghasilkan lebih daripada 360 buah lagu.

P. Ramlee berkhidmat untuk Malay Film Productions di Singapura sejak tahun 1948 hingga 1964. P. Ramlee kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1964 dan berkhidmat untuk Merdeka Film Productions atau Studio Merdeka sehingga akhir hayatnya pada tahun 1973. Malay Film Productions dan Merdeka Film Productions adalah syarikat perfileman yang dimiliki oleh Shaw Brothers.

Antara anugerah yang pernah dimenangi oleh P. Ramlee adalah:
  • Skor Muzik Terbaik untuk filem Hang Tuah di Festival Filem Asia ketiga di Hong Kong pada tahun 1956.
  • Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem Anakku Sazali di Festival Filem Asia keempat di Tokyo, Jepun (1957)
  • Filem Komedi Terbaik iaitu Pendekar Bujang Lapok untuk Festival Filem Asia keenam di Kuala Lumpur (1959)
  • Filem Komedi Terbaik iaitu Nujum Pa' Blalang untuk Festival Filem Asia ketujuh di Tokyo, Jepun (1960)
  • Menerima darjah Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 1962.
  • Menerima anugerah Bakat Paling Pelbagai di Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada tahun 1963.
  • Filem Komedi Terbaik iaitu Madu Tiga untuk Festival Filem Asia ke-11 di Taipei (1964).
  • Anugerah Khas iaitu filem Ibu Mertuaku untuk Festival Filem Dunia di Paris (1965).
  • Menerima Anugerah Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri (1990).
  • Mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005.
  • Menerima Anugerah Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak (Datuk Amar) pada 2009. 
P. Ramlee meninggal dunia pada 27 Mei 1973 akibat serangan jantung. P. Ramlee berusia 44 tahun sewaktu meninggal dunia.


0 komen:

Catat Ulasan