25 Apr 2013

Khamis, April 25, 2013
 

Fokus utama Nokia buat masa ini adalah untuk mengeluarkan Windows Phone yang berkualiti dan mampu dimiliki oleh ramai pengguna. Nokia Lumia 520 in merupakan satu contoh yang membuktikan syarikat tersebut mampu untuk mengeluarkan telefon pintar yang berkualiti pada harga bajet.

Sekilas pandang, agak pelik apabila mengetahui bahawa peranti ini dijual pada harga yang lebih murah daripada Nokia Lumia 620 yang dilancarkan sebelumnya. Ini kerana bukan sahaja Lumia 520 lebih nipis berbanding Lumia 620, ia juga didatangkan dengan skrin yang lebih besar. Apatah lagi skrin pada Lumia 520 ini merupakan skrin IPS berbanding skrin TFT pada Lumia 620.
Jadi bagaimanakah Nokia Lumia 520 boleh dijual pada harga RM599 berbanding Lumia 620 yang berharga RM799.

 
 Dijual pada harga RM599

Persamaan di antara kedua-dua telefon pintar ini adalah pemproses dual core 1GHz Krait dan GPU Adreno 305. Kedua-duanya juga mempunyai 512MB RAM,  8GB ruang storan dan kamera utama 5 megapiksel.
Perbezaannya pula kamera utama Nokia Lumia 520 tidak dilengkapi flash dan ia juga tidak mempunyai kamera hadapan. Namun anehnya ia mempunyai bateri yang lebih besar pada kapasiti 1430mAh berbanding 1300mAh pada Lumia 620. Juga tidak terdapat pada Lumia 520 ialah kebolehan NFC dan peningkatan audio headphone Dolby.

Lumia 520 juga hanya mempunyai 1 mikrofon berbanding 2 mikrofon anti-gangguan dan beramplitud tinggi pada Lumia 620. Jelas sekali kenapa terdapat perbezaan harga antara kedua model ini namun Nokia telah melengkapkan Lumia 520 dengan skrin yang lebih besar sebagai ganti kepada komponen yang tidak terdapat padanya.

Rekabentuknya yang lebih nipas menjadikan ia lebih selesa dipegang berbanding Lumia 620. Kameranya agak baik dalam keadaan bercahaya namun ketiadaan flash menyebabkan pengambilan gambar di persekitaran kurang bercahaya amat sukar dan hampir mustahil. Jadi jika anda suka mengambil gambar dengan telefon pintar, telefon ini mungkin kurang sesuai buat anda.

Telefon pintar ini sesuai untuk pengguna yang baru bertukar dari telefon bimbit biasa, tidak terlalu banyak mengambil gambar dan tidak juga membuat panggilan video atau banyak mengambil gambar diri sendiri.
Ketiadaan NFC juga tidak membenarkan pengguna melakukan fungsi-fungsi berkaitan NFC seperti menghantar gambar melalui sentuhan. Namun oleh kerana fungsi NFC belum diguna secara meluas, ketiadaannya tidak akan dirasai.

Secara keseluruhan, Lumia 520 adalah sebuah telefon pintar bajet yang baik bagi mereka yang bukanlah kaki mengambil gambar dan mengongsikannya di laman sosial. Oleh kerana ia dilengkapi Windows Phone 8, anda tentu akan mendapat pengalaman penggunaan telefon pintar yang sama dengan Lumia 620, 820 dan 920 dengan hanya perbezaan kualiti gambar.

Sepertimana dikatakan, telefon pintar ini boleh didapati di Malaysia pada harga RM599 di wakil penjualan Nokia berhampiran anda. Maklumat lanjut boleh didapati di Laman Rasmi Nokia.



0 komen:

Catat Ulasan