8 Sep 2013

Ahad, September 08, 2013

Fikiran dan jiwanya masih seperti seorang remaja lelaki berumur 14 tahun, namun jika dilihat dari sudut fizikal, Ali Hussain sebenarnya sudah melewati usia 110 tahun.

Dipetik laporan MailOnline, Ali yang dibesarkan di wilayah miskin Bihar, India, disahkan menghidapi sejenis sindrom genetik Progeria dan memperlihatkan fizikalnya lapan kali ganda lebih tua berbanding umur sebenar.

Dua abang dan tiga adik beradik perempuan Ali, telah meninggal dunia apabila penyakit genetik yang menjejaskan 80 orang seluruh dunia membunuh mereka.


Progeria adalah sejenis sindrom yang menyebabkan seseorang itu mengalami proses penuaan secara pantas sekali gus memudahkannya dijangkiti artritis, masalah mata, penyakit jantung dan botak.

Jangka hayat pesakit juga amat pendek iaitu antara 14 tahun hingga 20-an.

Bagaimanapun, Ali yang hanya memiliki berat 10 kilogram, tidak berputus asa selepas mengetahui tempoh hayatnya itu, dan berharap ubat yang diambilnya setiap hari dapat memanjangkan usia dan kesihatannya bertambah baik.

"Saya amat berharap dapat hidup dengan lebih lama dan saya sebenarnya tidak takut mati tetapi bimbang sekiranya ia berlaku, ibu bapa saya pasti terseksa kerana lima saudara saya telah pergi kerana penyakit yang sama," katanya.


Progeria akibat perkahwinan sepupu?

Ibu bapa Ali, Nabi Hussain Khan, 50, dan Razia, 46, memiliki pertalian darah iaitu sepupu rapat serta dikahwinkan oleh keluarga masing-masing kira-kira 32 tahun lalu.

Sepanjang perkahwinan, pasangan itu telah berhadapan kesedihan apabila empat anak mereka, Rehana, Iqramul, Gudiya dan Rubina meninggal dunia akibat penyakit genetik itu ketika melewati usia 12 tahun dan 24 tahun.

Anak kelima mereka, juga mengalami nasib yang sama apabila disahkan meninggal dunia hanya dalam tempoh 24 jam selepas dilahirkan dan dipercayai akibat Progeria.

"Rehana yang dilahirkan pada 1983, kelihatan sangat sihat dan normal.

"Kami pun tidak mengesyaki dia mengalami apa-apa penyakit. Tetapi ia mula dikesan ketika Rehana berusia dua tahun.

"Dia tidak dapat makan dan berjalan seperti kanak-kanak normal," kata Nabi.

Dua tahun kemudian, pasangan itu sekali lagi melahirkan anak lelaki iaitu Iqramul dan mengalami penyakit yang sama.

"Doktor gagal mengesan penyakit itu ketika mereka masih bayi dan tiada sebarang ubat yang dapat membantu mereka kerana kami tidak mampu.

"Ketika itu, jika doktor memberitahu anak-anak kami menghidapi Progeria yang disebabkan oleh masalah genetik, tentu sekali kami tidak akan melahirkan anak lagi," kata Nabi.

Dalam 1995, pasangan malang itu mendapat jawapan dan doktor di Kolkata mengesahkan keempat-empat anak mereka menghidapi Progeria selain tiada penawar.

Masalah genetik dalam keluarga Ali

  • Nabi dan Razia dikurniakan lapan anak dan enam daripadanya menghidapi Progeria.
  • Anak pertama, Rehana, dilahirkan pada 1983 meninggal dunia ketika berumur 24 tahun dalam 2007.
  • Anak kedua, Iqramul dilahirkan pada 1987, menemui ajal kerana penyakit sama pada usia 22 tahun dalam 2009.
  • Gudiya yang dilahirkan pada 1989, turut meninggal dunia atas sebab sama pada usia 15 tahun dalam 2004.
  • Anak keempat, Rubina meninggal dunia pada usia 12 tahun dalam 1992.
  • Dua anak perempuan pasangan ini, Sanjeeda, 20 dan Chanda, 10, disahkan sihat.

0 komen:

Catat Ulasan