11 Sep 2013

Rabu, September 11, 2013


Apple hari ini melancarkan dua buah telefon pintar baru bagi menggantikan telefon pintar iPhone 5. iPhone 5S dan iPhone 5C masing-masing disasarkan kepada pasaran telefon pintar premium dan pertengahan serta menampilkan beberapa ciri-ciri baru.


Dalam acara pelancaran awal pagi tadi, Apple telah melancarkan dua buah telefon pintar bagi menggantikan telefon pintar iPhone 5. Pelancaran dua produk yang disasarkan kepada pasaran yang berlainan ini diharap akan meluaskan lagi penguasaan pasaran telefon pintar Apple di dunia.

iPhone 5C

iPhone 5C disasarkan kepada golongan pertengahan dengan harganya yang rendah berbanding telefon pintar utama iPhone 5S. perbezaan utamanya ialah badannya diperbuat dari polikarbonat dan didatangkan dalam warna putih, merah jambu, kuning, biru dan hijau. Badan polikarbonat ini disokong oleh kerangka keluli yang juga berfungsi sebagai antena telefon pintar tersebut.
Tetapi, walaupun didatangkan dengan harga yang rendah, ia dilengkapi spesifikasi yang setaraf malah boleh juga dikatakan lebih baik daripada iPhone 5 asal. Ia dilengkapi pemproses A6, dan skrin Retina 4 inci seperti yang terdapat pada iPhone 5 asal.
Ia juga dilengkapi kamera utama iSight 8 MP, kamera Facetime HD 1.9MP, di samping kebolehan LTE, WiFi a/b/g/n dan Bluetooth 4.0. Menurut Apple, iPhone 5C (dan iPhone 5S) menyokong lebih banyak jenis rangkaian LTE berbanding telefon pintar lain. I menyokong rangkaian FDD-LTE tradisional dan juga rangkaian TD-LTE yang sedang meningkat naik di kebanyakan negara di seluruh dunia.

iPhone 5C akan dijual pada harga USD99 bagi model 16GB ruang storan dan USD199 bagi model dengan ruang storan 32GB. Kedua-duanya dengan kontrak 2 tahun syarikat telco. iPhone 5C akan turut menawarkan sarung pelbagai warna yang boleh ditukar tukar untuk mewujudkan kontras warna di antara warna telefon pintar dan warna sarung tersebut.

iPhone 5C Official Video

_________________________

iPhone 5S

Pada sepintas lalu, iPhone 5S tidak jauh berbeza daripada iPhone 5 asal. Ia mengekalkan skrin Retina 4 inci yang sama pada model asal, namun didatangkan dalam warna emas, putuh dan hitam (space grey).

Selain itu, ia dilengkapi pemproses baru A7 yang merupakan sebuah pemproses 64 bit baru keluaran Apple yang dilengkapi lebih satu billion transistor. Pemproses terbaru ini mempunyai 2 kali ganda jumlah transistor pada kepingan silikon yang sama saiz dengan pemproses A6, iaitu 102mm persegi.
iOS 7 juga menyokong pemproses 64 bit dan akan menyertakan kernel, library dan driver  untuk sistem 64 bit.
Kebolehan grafiknya menyokong OpenGL ES 3.0 dan dua kali ganda kebolehan grafik pemproses sebelumnya. Sebagai demonstrasi kebolehan itu, Apple menampilkan permainan video Infinity Blade 3 sebagai demonstrasi grafiknya.

Dari segi bateri, iPhone 5S berkeupayaan 10 jam masa berbual 3G dan 10 jam melayari internet dengan rangkaian LTE. Malah ia lebih efisyen apabila melayari internet pada rangkaian LTE berbanding 3G ; 10 jam berbanding 8 jam dengan 3G.
Kameranya mempunyai resolusi sama, 8MP, namun mempunyai sensor lebih besar, dengan lensa lima elemen F/2.2 yang direka Apple. Ia boleh mengambil video 1080p dan mengambil video gerak perlahan 720p pada kelajuan 120FPS serta terdapa juga mod mengambil gambar “burst mode”.
Ia juga boleh mengambil gambar panorama 28MP di mana telefon pintar akan mengubah kadar dedahan semasa pengguna menggerakkan kamera semasa mengambil gambar panorama.
iPhone 5S Official Video

iPhone 5S Touch ID

Namun, perkara paling menarik pada iPhone 5S ialah sistem pengesan cap jari yang dipanggil Touch ID. Touch ID ini diletakkan pada home button dan digunakan untuk membuka kekunci telefon pintar tersebut, di samping membuat pengesahan semasa membuat pembelian aplikasi dan sebagainya.
Kini tiada lagi masalah di mana pengguna iPhone dikejutkan dengan bil kad kredit yang tinggi kerana anak mereka bermain dengan telefon pintar dan membuat pembelian online menggunakan telefon tersebut.
Setiap kali pengguna menggunakan pengesan cap jari ini, telefon pintar tersebut akan “mempelajari” cap jari pengguna dengan lebih mendalam dan mengesan ciri-ciri paling seni pada cap jari pengguna. Semua data cap jari disimpan pada bahagian pemproses A7 yang terasing dan hanya boleh diakses melalui pengesan cap jari tersebut.
Telefon pintar ini juga dilengkapi cip M7 yang merupakan pemproses pergerakan kedua yang memantau secara berterusan data pergerakan yang ditampilkan accelerometer dan giroskopnya. Ini membuka kemungkin untuk aplikasi senaman yang lebih baik dan tepat.
Harganya di US adalah USD 199 untuk model 16GB, USD 299 untuk model 32GB dan dan USD399 bagi model 64GB. Harga tersebut disertakan kontrak 2 tahun telco.

Tarikh Jualan

iPhone 5S  dan iPhone 5C akan mula dijual secara rasmi di Amerika pada 20 September, namun boleh mula ditempah mulai 13 September. Ia dikatakan akan memasuki pasaran Malaysia dalam bulan Oktober atau November.


0 komen:

Catat Ulasan