Real Madrid memang baru sahaja membelanjakan wang besar terhadap yuran rekod dunia Gareth Bale namun kelab gergasi Sepanyol itu telahpun bercadang perpindahan besar mereka yang seterusnya, dengan menjadikan Luis Suarez sebagai sasaran.
Menurut laporan, Carlo Ancelotti sedang merancang usaha baru untuk membawa pemain kebangsaan Uruguay itu ke Bernabeu pada Januari ini, selepas mereka menunjukkan minat terhadap pemain berusia 26 tahun itu pada musim panas lalu.
Arsenal juga dipercayai sedang bersedia untuk membuat satu lagi tawaran bagi memikat Suarez keluar dari Anfield, selepas tawaran £40,000,001 mereka ditolak oleh The Reds namun bakal diatasi oleh Madrid yang sedang difahamkan bersedia untuk menggunakan sepenuhnya dana yang diraih hasil penjualan Mesut Ozil kepada Gunners.
Ozil dibeli oleh pasukan bimbingan Arsene Wenger dengan yuran £42.4 juta pada hari terakhir jendela perpindahan dan ia mungkin mencukupi buat Madrid mendapatkan Suarez, dengan Liverpool enggan menjual kepada pesaing di Liga Perdana.
Namun Ancelotti juga dilaporkan berminat terhadap Radamel Falcao, yang menyertai Monaco pada awal musim panas lalu.
________________________________
KONTRAK BARU BUAT ARSENE WENGER
Arsenal sedang difahamkan di ambang menawarkan pengurus, Arsene Wenger satu kontrak besar yang baru.
Laporan akhbar mendakwa lembaga pengarah Gunners sedang membuka perbincangan kontrak bernilai £15 juta dengan bos mereka yang sudah lama berkhidmat itu – dan sedang berharap dana perpindahan £40 juta pada Januari nanti akan memujuknya menandatangani satu perjanjian baru dengan mereka.
Jurulatih dari Perancis itu, yang bakal berusia 64 tahun bulan depan, akan tamat kontrak pada musim panas 2014 namun telah memberitahu dia terbuka untuk melanjutkan tempohnya di kelab.
Dia terus menerima sokongan penuh dari pemilik, Stan Kroenke dan lembaga pengarah, dengan ketua eksekutif, Ivan Gazidis menegaskan pada awal musim panas lalu perbincangan akan diteruskan di balik tabir.
Wenger terbukti tunjang penting di dalam perjanjian termahal kelab bernilai £42 juta untuk membawa Mesut Ozil dari Real Madrid pada hari terakhir jendela perpindahan, dan telah sentiasa menegaskan yang kejayaan berterusan di atas padang lebih penting berbanding sebarang spekulasi tentang masa depannya sendiri.
________________________________
ANDERSON TERDESAK MAHU BUKTI DIRINYA DI UNITED
Midfielder Manchester United, Anderson berharap untuk menggunakan segenap manfaat daripada peningkatan tahap kecergasannya dan mengukuhkan kedudukannya di bawah David Moyes musim ini.
Dengan dibebani sejarah kecederaan sejak ketibaannya pada 2007 di Old Trafford, pemain berusia 25 tahun itu telah bergelut untuk mengukuhkan tempat di dalam pasukan utama namun, selepas bangkit dari bangku simpanan pada aksi kemenangan hari pembukaan Red Devils ke atas Swansea, dia bersemangat untuk lebih kerap bermain sebanyak mungkin pada 2013-14.
"Saya cuma mahu bermain sebanyak yang saya boleh. Saya cuma harap saya boleh bebas dari kecederaan," kata Anderson.
"Saya dah gigih berlatih di atas padang latihan dan di gim dan cuba tingkatkan kecergasan saya. Saya berpuas hati dengan keadaan sekarang dan, bila saja pengurus perlukan saya, saya akan sedia.
"Saya dah lebih banyak lakukan larian, yang bantu tingkatkan kecergasan saya. Fisio di Portugal dah banyak bantu saya, begitu juga para jurulatih di United. Saya sendiri juga dah kerja keras. Saya dah bina kekuatan di lutut saya, dan kerja keras ketika latihan.
"Saya dah makan dan tidur dengan baik, selain saya juga datang berlatih ketika hari cuti untuk lakukan lebih banyak latihan. Ia dah benar-benar bantu saya dan saya rasa hebat.
"Saya rasa ini satu musim besar buat saya," tambahnya. "Buat semua orang. Namun saya enggan katakan itu dan kemudiannya saya alami satu lagi kecederaan baru. Saya sering mulakan musim dengan baik, bermain enam atau tujuh perlawanan dan kemudian tercedera.
"Saya akan beritahu anda pada penghujung musim samada ini musim besar buat saya atau tidak!"
0 komen:
Catat Ulasan