Malam tadi telah berlangsung satu acara pelancaran barisan produk kamera terbaru dari Sony. Acara anjuran Sony Malaysia ini berlangsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur dari 10 pagi hingga 8 malam, namun acara presentasi produk belangsung disebelah malam.
Sony Malaysia telah mengadakan acara pelancaran barisan produk kamera terbaru keluarannya bagi memperkenalkan kamera-kamera terbarunya seperti Sony NEX-5R, RX-100 II, Sony HD Action Camcorder, Sony Alpha 3000, Sony Handycam XAVC, Sony QX10 dan Sony Qx100 Acara ringkas ini dihoskan oleh selebriti Julia Woon, yang terkenal sebagai hos 8TV Quickie.
Acara dimulakan dengan ucapan kata-kata aluan daripada Ivy Goh yang merupakan ketua bahagian pemasaran di Sony Malaysia.
Selepas itu, para hadirin dipertontonkan kepada persembahan video produk-produk yang diperkenalkan
Selepas selesai segmen tersebut (dan sesi mengambil gambar dengan Lisa Surihani) kami dijemput untuk ke ruang pameran produk untuk melihat sendiri kamera-kamera yang diperkenalkan di dalam video tadi.
Sony Handycam FDR-AX1E 4K
Sony Handycam FDR-AX1E 4K merupakan sebuah kamera video prosumer yang berkupayaan merakam dan memainkan semula video 4K. Ia dilengkapi sensor CMOS Exmor R™ jenis 1/2.3 dan mengambil video pada resolusi 3840×2160. Ia menggunapakai format XAVC yang menggunakan MPEG-4 AVC/H.264 Long GOP untuk video dan Linear PCM untuk pemampatan audio serta dapat menyimpan fail dalam format MP4. Harga rasminya di Malaysia belum didedahkan, namun menurut staff Sony di situ, ia akan berharga sekitar RM14,000. Harganya di US adalah sekitar USD 4,499.99.
Jika anda berpeluang menonton video dalam resolusi 4K seperti di pameran tersebut, anda akan terus menyedari betapa jelas gambarnya berbanding Full HD 1080p. Lebih tepat, 3 kali ganda lebih jelas. Anda perlu melihatnya sendiri untuk mengetahuinya.
Sony NEX 5T
Sony NEX 5T adalah penambahbaikan kepada model Sony NEX yang sememangnya popular di kalangan peminat kamera tanpa cermin (mirorless) di mana ia menggunakan sistem lensa E-mount, berbeza berbandin DSLR Sony yang menggunakan A-Mount.
Antara ciri-ciri baru yang diperkenalkan dalam NEX 5T ialah kebolehan WiFi dan NFC, bermakna pengguna boleh memindahkan gambar ke peranti mudah alih lain yang berkebolehan NFC hanya dengan menyenuhkan peranti itu pada bahagian NFC kamera ini. Ia juga boleh memuatnaik gambar terus ke media sosial seperti Facebook dan Flickr melalui sambungan WiFinya.
Selain itu, skrinnya boleh dilenturkan 180 darjah untuk mengambil gambar sendiri (selfie) dan berkebolehan mengambil syot berterusan sepantas 10fps. Kamera ini dilengkapi perisian yang membolehkan anda mengedit gambar terus dari kamera. Seperti mana semua kamera baru NEX Sony, lensanya mempunyai sistem zoom elektronik bermakna pengguna tidak perlu memutarkan lensa untuk zoo
Sony HD Action Camcorder
Kamera ini antara produk paling menarik dalam barisan kamera Sony. Ia merupakan sebuah action cam dan direka untuk menyaingi kamera GoPro. Kamera 11.9 MP dengan sensor Exmor R ini boleh mengambil video dalam resolusi 1080p pada kelajuan 60fps. Ini bermakna ia boleh mengambil video gerak perlahan sehingga 4x. Lensa lebarnya juga membolehkan ia mempunyai sudut pandangan 170 darjah.
Ia juga dilengkapi WiFi dan NFC yang membolehkan ia dihubungkan kepada telefon pintar menggunakan aplikasi Play Memories untuk dijadikan skrin kawalan. Ia mempunyai aksesori alat kawalan dengan skrin LCD, tetapi menurut staf di situ, ia tidak dibawa masuk ke Malaysia setakat ini.
Bercakap tentang aksesori, ia mempunyai pelbagai aksesori mounting yang menarik membolehkan ia dipasang pada handle bar basikal, surfing board, malah ia juga boleh dipasangkan kepada haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing dengan satu mounting khas untuk haiwan peliharaan.
Sony QX10 dan QX100
Kedua-dua peranti ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat telefon pintar. Secara asasnya, kedua-dua peranti ini merupakan kamera point and shoot yang dihubungkan kepada telefon pintar di mana telefon pintar dijadikan alat kawalan dan skrin paparan. Menariknya, peranti itu tidak perlu dipasang pada telefon pintar setelah dihubungkan. pengguna boleh mencabutnya dan menghalakan kamera itu ke tempat-tempat yang sukar dicapai oleh kamera biasa.
QX10 dan QX100 mempunyai keupayaan berbeza, di mana QX100 dilengkapi fungsi zoom sebanyak 3.6x dan dilengkapi sensor Exmor R. Namun fungsi asasnya sama sahaja. Kedua-duanya mempunyai slot kad luaran untuk menyimpan gambar.
Walaupun kelihatan menarik, ia tidak sesuai untuk menangkap gambar dengan pantas. Ini kerana untuk setiap gambar yang ditangkap, ia memerlukan lebih kurang 4 saat untuk memindahkan gambar kepada telefon pintar (untuk tujuan paparan), jadi mengambil gambar berterusan tidak dapat dilakukan. Baterinya juga bertahan sehingga 200 tangkapan gambar sahaja, menurut staf Sony apabila diajukan soalan tersebut.
Namun bagi penggemar fotografi telefon pintar, ia dapat mempertingkatkan keupayaan mengambil gambar telefon mudah alih tanpa menambah peralatan yang besar.
Sony Alpha 3000
Kamera ini kelihatan seperti DSLR, namun ias sebuah kamera tanpa cermin (mirrorless). Seperti NEX 5T, ia juga menggunakan lensa E-mount dan boleh menggunakan lensa yang sama dengan barisan kamera NEX-5. Kamera 20.1 MP ini dilengkapi Multi Interface Shoe yang boleh digunakan untuk memasang aksesori seperti flash, viewfinder elektronik ataupun mikrofon. Ia dilengkapi fungsi-fungsi DSLR, membolehkan pengguna meluahkan kreativiti fotografi mereka dengan sebaik mungkin.
Sony Music Video Camcorder
Alati ini menggabungkan kamera dengan alat perakam audio berkualiti tinggi. Ia menyasarkan para pemuzik yang ingin merakamkan muzik mereka dan mengongsikannya di laman sosial atau Youtube. Ia dilengkapi sensor CMOS Exmor dan sistem mikrofon 120 darjah X-Y stereo membolehkan ia merakam audio dalam format linear PCM tidak termampat.
Sambungan WiFi dan NFCnya juga memudahkan perkongsian video kepada peranti lain dan di media sosial.
Sony Cybershot RX100 II
Kamera kompak “point and shoot” ini sebenarnya telah berada di pasaran sejak beberapa bulan yang lalu pada harga RM1499. Namun bagi tujuan promosi ia dipamerkan juga pada acara ini. Kamera prosumer ini juga dilengkapi fungsi kawalan manual dan hot shoe connector bagi membolehkan penyambungan flash luaran.
Ia dilengkapi sensor CMOS Exmor R berkeupayaan 20.2 MP dengan kawalan ISO dari ISO 160 hingga 12,800 . Penangkapan gambar pegun secara berterusan juga boleh diset untuk mencapai kelajuan 10fps menggunakan mod “Speed Priority”. Ia juga boleh merakam video 1080p pada kelajuan 60fps (format AVCHD) dan 1080p pada 50fps dalam format MP4.
Lebih menarik lagi, dengan adanya WiFi dan NFC, ia boleh dihubungkan kepada peranti mudah alih lain dan menjadikannya skrin kedua ataupun alat kawalan jauh untuk kamera ini.
Rata-rata barisan kamera Sony terbaru kelihatan sangat menarik dan seperti mana-mana syarikat, ia menggalakkan penggunaan produk Sony yang lain dengan mengintegrasikan peranti seperti telefon pintar Xperia ke dalam ekosistem fotografinya. Malangnya selain Sony Cybershot RX100 II, Sony Malaysia belum mendedahkan harga rasmi produk-produknya itu, namun mengumumkan bahawa produk-produk ini akan memasuki pasaran Malaysia dalam bulan Oktober ini.
0 komen:
Catat Ulasan