Nampaknya bukan sahaja Samsung dan Sony sahaja yang ingin menceburi bidang wearable technology atau teknologi yang boleh dipakai, malah kini Nissan melancarkan Nismo Watch, iaitu jam tangan pintar yang boleh dihubungkan kepada kereta untuk memantau prestasi dan efisyensi kereta di samping memantau keadaan fizikal pemandu.
Nismo Watch digelar sebagai langkah pertama Nissan dalam teknologi boleh dipakai. Ia digunakan untuk memantau statistik biometrik dan prestasi kereta dan direka khusus untuk pemandu kenderaan-kenderaan berprestasi tinggi Nismo keluarannya termasuk Juke Nismo dan 370Z Nismo.
Jam tangan tersebut dihubungkan kepada kereta menggunakan aplikasi telefon pintar melalui Bluetooth berkuasa rendah mewujudkan alairan data masa nyata antara pemandu dan kereta. Ia merekodkan efisyensi kereta tersebut dengan memantau kelajuan dan penggunaan minyak. Menurut Nissan, ia juga boleh memberi amaran kepada pemandu untuk menurunkan kadar denyutan jantung jika ia terlalu tinggi, memaklumkan pemandu mengenai keadaan jalan dan memaklumkan pemandu apabila masa untuk servis kereta telahpun sampai.
Nismo Watch ditawarkan dalam warna hitam, putih dan hitam “flasgship”. Antaramukanya mudah dan boleh dikawal dengan hanya dua butang. Bateri litium ion padanya dikatakan boleh bertahan selama 7 hari dengan penggunaan biasa dan apabila tiba masa untuk mengecas, ia mempunyai port micro USB untuk menyambungkan kabel pengecasan.
Nissan Nismo watch akan dijual secara global, namun belum ada berita mengenai harganya.
0 komen:
Catat Ulasan