Nvidia telah berjaya menghasilkan tablet Tegra 4 buatannya sendiri dengan pengenalan tabet Tegra Note yang didatangkan dengan pen stylus, Android OS dan dijual pada harga yang berpatutan.
Tablet ini pernah dipaparkan di TechKini di bawah nama Nvidia Tegra Tab. Syarikat itu pernah mempamerkan tablet ini dalam acara Computex yang diadakan di Taiwan tidak lama dahulu. Nama Tegra “Note” ini diberikan kepadanya kerana adanya pen stylus dan bukan kerana meniru produk Samsung.
Nvidia Tegra Note didatangkan dengan CPU Tegra 4 quad-core Cortex-A15, enjin grafik GeForce 72-core, skrin HD IPS LCD 7 inci dan kamera 5MP di bahagian belakang serta kamera VGA di hadapannya. Ia juga dilengkapi ruang storan 16GB dan slot Kad Mikro SD untuk ruang storan tambahan.
Versi Android terbaru akan disertakan dengan tablet ini apabila ia dilancarkan dalam bulan Oktober dan ada kemungkinan ini bermakna tablet ini akan menjadi antara tablet pertama yang dilengkapi Android KitKat, sekiranya versi Android terbabit dilancarkan sebelum pelancaran Tegra Note. Namun kita hanya boleh tunggu dan lihat untuk mengetahuinya.
Tablet ini akan dilancarkan di Amerika Utara, Eropah, Asia-Pasifik dan India dengan harga yang dijangka USD199 (RM640 +/-). Dijangka prestasi grafiknya akan menjadi tumpuan utama malah, olehkerana kedudukan Nvidia sebagai pembangun cip grafik, keseluruhan tablet ini dijangka akan dinilai berdasarkan prestasi grafiknya.
0 komen:
Catat Ulasan