Dengan hanya lebih kurang 2 minggu lagi untuk acara pelancaran Apple pada 10 September, khabar angin mengenai iPhone 5S semakin kencang. Khabar angin terbaru datangnya dari pembaca berita Fox News, Clayton Morris, yang mendakwa bahawa cip A7 dalam iPhone 5S akan memberikan peningkatan prestasi sebanyak 31% berbanding iPhone 5 sekarang.
Dalam tweet yang dihantarnya, Clayton Morris dipetik berkata, menurut sumber-sumbernya, cip A7 dalam iPhone 5S 31% lebih pantas berbanding iPhone 5 terkini. Walaubagaimanapun, jika dibuat perbandingan, cip A6 terkini adalah dua kali ganda lebih pantas daripada cip A5 sebelumnya. Jadi, peningkatan 31% itu tidaklah sehebat mana.
Tidak lama selepas itu, Morris menghantar lagi satu tweet yang mengatakan beliau juga mendengar bahawa iPhone 5S terbaru ini juga akan dilengkapi teknologi motion tracking padanya. Namun beliau tidak pula menerangkan maklumat terperinci mengenai teknologi itu.
Harus diingat bahawa khabar angin akan bertambah kencang setiap kali menghampiri sesuatu acara pelancaran produk Apple dan tidak semuanya benar. Setakat ini iPhone dikatakan akan dilengkapi pengesan cap jari, kamera 13MP dengan flash LED berkembar dan juga teknologi pengecasan tanpa wayar. Jika benar, kelihatan seperti iPhone 5S merupakan satu anjakan yang lebih besar daripada anjakan dari iPhone 4S ke iPhone 5.
Malangnya, khabar angin ini hanya boleh disahkan setelah melihat sendiri produk tersebut yang mungkin akan dapat dilihat dalam 2 minggu lagi pada acara pelancaran Apple. Juga diingatkan tarikh 10 September tersebut juga belum disahkan secara rasmi lagi. Adakah acara ini akan berlaku? Kita tunggu dan lihat.
0 komen:
Catat Ulasan